PENGURUSAN Kecemasan Bandar New York (NYC) mengeluarkan video baharu yang memberi arahan kepada warganya mengenai apa yang perlu dilakukan sekiranya bandar itu berdepan ancaman nuklear.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya Pengurusan Kecemasan New York City, Christina Farrell, pengumuman perkhidmatan awam (PSA) itu mula disiarkan di media sosial, YouTube, dan laman web Pengurusan Kecemasan NYC dan akan dipaparkan ketika pembentangan keselamatan.

Dalam PSA berkenaan, warga New York diarahkan untuk pergi ke bahagian dalam bangunan yang kukuh sekiranya berlaku serangan nuklear.

Mereka juga disaran mendapatkan panduan lanjut mengenai aplikasi telefon pintar 'Notify NYC'.

Jelas Farrell, PSA ini sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya perkara tidak diingini berlaku.

"Situasi ini kebarangkaliannya sangat rendah dan ketika ini tiada ancaman khusus. Ia hanyalah langkah berjaga-jaga pada abad ke-21 ini bagi situasi kecemasan," katanya dalam temu bual bersama AP.

PSA video berkenaan dikeluarkan ketika perang antara Rusia dan Ukraine kini memasuki bulan kelima.

Ini berikutan amaran yang dikeluarkan Pegawai Tertinggi Rusia, Dmitry Medvedev bahawa Amerika boleh menghadapi 'malapetaka' jika ia berperanan untuk membantu menubuhkan tribunal antarabangsa bagi menyiasat tindakan Rusia di Ukraine.

Amaran Medvedev berikutan beberapa siri kenyataan keras daripada Putin dan pegawainya yang mendakwa senjata nuklear Rusia digunakan untuk memberi amaran kepada Barat supaya tidak campur tangan dengan tindakan Moscow di Ukraine.