Kontroversi naskhah al-Quran ditulis dengan darah Saddam Hussein

Siti Hajar Jamaludin
Mei 22, 2019 06:52 MYT
Saddam Hussein mengarahkan penulis kaligrafi Islam terkenal Abbas Shakir Joody al-Baghdadi untuk menulis al-Quran menggunakan 27 liter darahnya. -Reuters
SEMPENA Nuzul Al-Quran, Astro AWANI ingin berkongsi satu kisah benar mengenai satu naskhah al-Quran yang ditulis menggunakan darah.
Satu-satunya naskhah tulisan darah itu menjadi kontroversi lantas menimbulkan pelbagai persoalan tentang kesahihan serta kesucian kitab tersebut sehingga kini.
Perkara ini terjadi pada lewat era 1990-an di mana pemimpin Iraq ketika itu Saddam Hussein mengambil keputusan untuk menulis al-Quran menggunakan darah sebagai membayar nazar selepas anaknya Uday terselamat daripada dibunuh.
Ketika itu, Saddam mengarahkan penulis kaligrafi islam terkenal Abbas Shakir Joody al-Baghdadi untuk menulis al-Quran tersebut mengikut kehendaknya, satu proses yang rumit sehingga dia hampir dibuang kerja.
Hampir dua tahun masa yang diambil Abbas Syakir untuk menyiapkan 650 muka surat al-Quran merangkumi 114 surah menggunakan 27 liter darah Saddam Hussein sebagai pengganti dakwat.
Namun begitu, kejatuhan kerajaan Baghdad yang diperintah Saddam selepas diserang tentera Amerika kira-kira 19 tahun lalu, al-Quran tersebut hilang daripada pandangan masyarakat tetapi disimpan oleh golongan tertentu.
Selepas itu, timbul pelbagai persoalan daripada para ulama dan pihak berkuasa sama ada ingin menghapuskan atau menyimpan al-Quran tersebut.
Daripada Syaikh Ahmad al-Samarraia, seorang pemimpin sufi mengatakan perbuatan menulis al-Quran menggunakan darah itu adalah haram dan salah.
Namun, ada juga pihak yang mengatakan al-Quran tersebut penting untuk disimpan kerana ia merupakan artifak sejarah untuk era tertentu bagi negara Iraq.
Di sisi lain pula, timbul kegusaran jika al-Quran itu terus dipamerkan akan terjadinya perbalahan yang mengatakan pihak berkuasa negara itu memuliakan pemerintah Saddam dan golongan yang menyokongnya, Parti Ba'ath.
Setakat ini tiada kesahihan sama ada al-Quran itu masih wujud atau tidak, tetapi kali terakhir kewujudannya dilihat pada tahun 2010 di mana al-Quran tersebut disimpan rapi di sebuah bilik bawah tanah yang mempunyai tiga pintu berkubah di dalam sebuah masjid.
Kunci untuk ketiga-tiga pintu itu dipegang oleh orang yang berbeza iaitu seorang sheikh, pesuruhjaya polis bandar, dan pihak ketiga yang dirahsiakan identitinya.
Walau bagaimanapun, dahulu al-Quran tersebut dipamerkan di Masjid "Mother of All Battles" dibina oleh Saddam khas untuk memperingati sejarah perjuangannya sebelum pameran itu tidak lagi diadakan.
#27 liter darah #Abbas Shakir Joody al-Baghdadi #Al-Quran #al-Quran ditulis menggunakan darah #Baghdad #haram #Iraq #pemimpin diktator #Saddam Hussein