SEOUL: Korea Selatan bakal menambah jumlah penerbangan antarabangsa ke Amerika Syarikat, Eropah dan negara-negara bebas kuarantin COVID-19, sebanyak 100 penerbangan setiap bulan bermula Mei.

Menteri Dalam Negeri, Jeon Hae Cheol pada Rabu berkata permintaan untuk perjalanan antarabangsa dijangka meningkat memandangkan banyak negara luar secara beransur-ansur menarik balik syarat kuarantin.

"Mulai Julai, kadar penerbangan akan dinaikkan kepada 300 setiap bulan. Pada masa ini, bilangan penerbangan antarabangsa ialah 420 setiap minggu, iaitu sebanyak 8.9 peratus berbanding ketika pra-pandemik," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga akan menormalkan perkhidmatan penerbangan antarabangsa di beberapa wilayah lain.

"Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, Cheongju dan Jeju boleh menyambung semula laluan antarabangsa pada Mei, sebelum diikuti lapangan terbang yang lain," katanya.

Menurut Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan langkah itu dijangka meningkatkan jumlah penerbangan kepada kira-kira 50 peratus berbanding 2019.

Kementerian juga bercadang untuk menormalkan semua dasar berkaitan penerbangan selepas negara ini mencapai fasa endemik iaitu sekitar Oktober.

-- BERNAMA