KUALA LUMPUR: Korea Utara hari ini telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia selepas seorang rakyatnya yang menetap di sini, bakal diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.

Kementerian Luarnya dalam satu kenyataan rasmi yang disiarkan agensi berita negara itu KCNA berkata, Malaysia telah melakukan ‘jenayah yang tidak boleh dimaafkan’, dan ‘menghantar rakyatnya yang tak bersalah ke AS dengan cara paksaan.

"Susulan situasi semasa, Kementerian Luar Korea Utara dengan ini memutuskan untuk menghentikan semua hubungan diplomatik dengan Malaysia, yang telah melakukan tindakan bermusuhan terhadap Korea Utara, atas tekanan Amerika Syarikat.

"Pada waktu ini, pihak berkuasa Malaysia akan menanggung tanggungjawab penuh terhadap kesemua akibat yang bakal berlaku antara dua negara ini," menurut kenyataan itu lagi.

Selain itu, Kementerian Luar Korea Utara berkata, Washington turut akan menanggung akibat perbuatannya.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 3 Mac lepas, yang menolak rayuan terakhir Mun Chol Myong untuk mencabar perintah ekstradisi ke atasnya.

Perintah tersebut diperolehi berikutan dakwaan FBI bahawa Chol Myong terbabit mengetuai kumpulan penjenayah yang melanggar sekatan dengan membekalkan barang terlarang ke Korea Utara dan mencuci dana haram melalui syarikat samaran.

Chol Myong menghadapi empat pertuduhan pengubahan wang haram serta dua tuduhan konspirasi untuk membersihkan wang haram, dan menurut Soon Seng, tuduhan berkenaan berkaitan dengan pekerjaannya di Singapura.

Dalam pembelaan diri, peguam Chol Myong berhujah bahawa lelaki berkenaan merupakan mangsa yang terperangkap dalam ketegangan hubungan diplomatik antara Washington dan Pyongyang.

Bagaimanapun Mahkamah Persekutuan memutuskan kesemua peraturan perjanjian ekstradisi antara AS dan Malaysia sudah dipenuhi, dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memudahcara proses berkenaan.