TOKYO: Dianggarkan sebanyak ¥1.65 billion (RM53 juta) akan dibelanjakan oleh kerajaan Jepun untuk istiadat pengebumian negera bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe.

Portal berita CNA melaporkan, anggaran terbaharu yang dikeluarkan hari ini oleh kerajaan itu turut merangkumi kos kawalan keselamatan dan jamuan.

Awal Ogos lalu, kerajaan Jepun meluluskan bajet sebanyak sebanyak ¥250 juta (RM8 juta) untuk kos istiadat pengebumian negara, namun, kelulusan itu mengundang kritikan dan dianggap tidak realistik.

Dalam masa sama, kerajaan negara itu mengeluarkan perincian perbelanjaan merangkumi kos keselamatan mencecah ¥800 juta (RM25 juta) sementara, jumlah pembiayaan untuk delegasi asing dianggarkan sebanyak ¥600 juta (RM19 juta), kata Ketua Setiausaha Kabinet, Hirokazu Matsuno.

"Jika kami diperlukan merumuskan anggaran kos, saya fikir jumlah berkenaan menghampiri apa yang disebut oleh anda," kata Hirokazu sebagai menjawab soalan media apakah kos pengebumian negara itu mencecah ¥1.7 billion (RM54 juta).

Meskipun mendiang memegang jawatan sebagai sebagai Perdana Menteri Jepun paling lama, istiadat ini mengundang kritikan daripada pembayar cukai berikutan pendedahan tentang kaitan mendiang dengan pemerintah lain dalam isu Gereja Penyatuan yang kontroversi.

Dianggarkan sekitar 6,000 tetamu termasuk pemimpin dari seluruh dunia dijangka hadir pada ucapara pengebumian negara itu.

Istiadat berkenaan dijangka diadakan di Dewan Budokan Nippon, Tokyo pada 27 September ini.

Tinjauan oleh akhbar Yomiuri yang dijalankan awal bulan ini menunjukkan 56 peratus responden tidak bersetuju dengan istiadat ini manakala 38 peratus menyokong.

Abe, 67, ditembak pada 8 Julai lalu di bandar Nara, Jepun semasa berucap dalam kempen pilihan raya.

Pembunuhnya, Tetsuya Yamagami, mendekati ahli politik itu dari belakang dan melepaskan dua das tembakan dari jarak kira-kira 10 meter (33 kaki). Abe yang dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal, disahkan meninggal dunia di Hospital Universiti Perubatan.