NEW DELHI: Krisis politik Pakistan kian meruncing susulan pemilihan Ketua Menteri di wilayah Punjab.

Seramai 371 ahli dewan Punjab mengadakan undian yang menyaksikan anak Perdana Menteri Shehbaz Sharif, Hamza Shehbaz diisytiharkan menang, lalu mencetuskan pertikaian.

Hamza dari Parti Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) mendapat 179 undi dan pencabarnya, Chaudhry Parvez Elahi dari Liga Muslim Pakistan-Quaid (PML-Q) memperoleh 186 undi.

Bagaimanapun, Timbalan Speaker Dost Mohammad Mazari, menolak 10 undi PML-Q atas alasan mereka tidak mematuhi arahan ketua parti Chaudrhry Shujaat Hussain supaya menyokong Hamza.

Situasi pelik itu menyaksikan Chaudhry Parvez yang disokong parti bekas perdana menteri Imran Khan, Parti Tehreek-e-eInsaf (PTI), parti tungal terbesar di dewan dengan 177 Ahli Parlimen beserta parti sekutunya tidak boleh mengundi calon mereka untuk jawatan ketua menteri.

Protes jalanan meletus pada Jumaat malam di seluruh Pakistan, termasuk di Lahore, Islamabad, Karachi, Peshawar, Quetta, Gujranwala dan Multan selepas pemimpin PTI mendakwa mandat pilihan raya mereka dicuri secara tidak adil.

Chaudhry Parvez, yang merupakan Speaker Punjab, bertanding menentang Hamza pada April yang menyaksikan sejumlah ahli PTI menyokong Hamza.

Bagaimanapun, selepas anggota PTI yang berpaling tadah itu hilang kelayakan, pilihan raya kecil diadakan pada 17 Julai bagi mengisi 20 kerusi yang kosong.

PTI memenangi 15 kerusi, mengukuhkan kedudukan mereka bagi mendapatkan semula kuasa yang dirampas daripada mereka pada April.

Pelantikan Hamza memang tidak dijangka kerana PTI dan PML-Q memiliki majoriti besar di dewan.

Parti PML-Q menyokong Chaudhry Parvez seperti yang sudah dijangka namun keputusan kontroversi timbalan speaker begitu mengejutkan mereka.

Keputusan Mazari dicabar PTI kerana mendakwa ketua parti perundangan saja yang mempunyai kuasa untuk menentukan siapa yang perlu diundi.

Berikutan itu, PTI akan membawa perkara itu ke mahkamah dan merancang mengadakan bantahan di seluruh negara.

Perebutan kuasa di Punjab begitu kritikal sehinggakan dua ahli dewan penyokong Hamza yang positif COVID-19, turut dibawa ke dewan dengan memakai sut peralatan pelindung diri (PPE).

Situasi politik Pakistan menjadi tunggang-langgang pada 9 April apabila kerajaan persekutuan diterajui Imran Khan di Islamabad digulingkan menerusi undi tidak percaya dan bekas perdana menteri itu berkata ia adalah sebahagian daripada operasi mengubah rejim yang disokong Amerika Syarikat.

Sementara itu, Hamza mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada pagi Sabtu di hadapan Gabenor Punjab, Balighur Rehman.

Slogan "Aik Zardari Sab Pe Bhaari" (Kuasa Zardari membaham mereka semua) kedengaran sejurus Hamza mengangkat sumpah, lapor akhbar Dawn.

Ia merujuk kepada pemimpin Parti Rakyat Pakistan (PPP) Asif Ali Zardari, selepas timbul dakwaan bahawa percaturan politik beliau yang memastikan kejayaan Hamza.

Zardari juga dilihat menjadi watak utama membentuk perikatan terdiri beberapa parti bagi menumbangkan Imran.

-- BERNAMA