Krisis Rusia-Ukraine: 146 mayat digali di tapak kubur besar-besaran

Astro Awani
September 19, 2022 23:15 MYT
Pakar forensik telah bekerja secara teratur selama beberapa hari untuk menggali dan mengenal pasti mayat. - Foto REUTERS
IZIUM: Pakar forensik Ukraine setakat ini telah menggali 146 mayat, kebanyakannya orang awam di tapak kubur besar-besaran berhampiran bandar Izium di timur Ukraine.
Gabenor wilayah itu berkata, beberapa mayat menunjukkan tanda kematian yang kejam.
Presiden Volodymyr Zelenskyy berkata kira-kira 450 mayat dipercayai telah tertanam di dalam sebuah tapak di hutan di pinggir Izium.
Baru-baru itu wilayah itu ditawan semula oleh tentera Ukraine semasa serangan balas di wilayah Kharkiv.
Gabenor wilayah Kharkiv, Oleh Synehubov berkata, mayat yang digali termasuk dua kanak-kanak.
Jelasnya, sesetengah daripada mayat mempunyai tanda-tanda kematian ganas.
Terdapat mayat dengan tangan terikat dan kesan penyeksaan serta didapati mempunyai kesan letupan, serpihan dan tikaman.
Pakar forensik telah bekerja secara teratur selama beberapa hari untuk menggali dan mengenal pasti mayat.
Pada Isnin, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov menolak dakwaan Ukraine sebagai satu pembohongan.
Penduduk sebelum ini berkata beberapa kubur di dalam hutan itu adalah mereka yang maut dalam serangan udara Rusia.
#kubur besar-besaran #mayat #Volodymyr Zelenskyy #hutan