Krisis Rusia-Ukraine: PBB sah hampir 7,000 orang awam maut

Bernama
Disember 28, 2022 20:17 MYT
Anggota bomba membersihkan sisa-sisa runtuhan sebuah bangunan yang musnah dalam serangan pihak Rusia di Kryvyi Rih, Ukraine, 16 Dis 2022. - Gambar fail AP
GENEVA: Hampir 7,000 orang awam dilaporkan terbunuh, manakala lebih 10,000 lagi cedera selepas Rusia melancarkan operasi ketenteraan terhadap Ukraine, menurut angka yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR) menegaskan bahawa angka sebenar adalah "jauh lebih tinggi" tetapi sukar untuk mendapatkan data yang boleh dipercayai dari barisan hadapan, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Setakat ini, seramai 6,884 orang terbunuh manakala 10,947 lagi cedera selepas Moscow melancarkan operasi ketenteraan berskala penuh bermula 24 Feb.
Menurut agensi PBB dalam satu kenyataan lewat Selasa, mereka yang terbunuh termasuk 429 kanak-kanak.
"Penggunaan bahan letupan termasuk tembakan menggunakan artileri berat, sistem roket pelancar berganda, peluru berpandu dan serangan udara menjadi punca utama kematian penduduk tempatan," menurut kenyataan itu.
Donetsk dan Luhansk dilaporkan terjejas teruk akibat krisis berkenaan.
-- BERNAMA
#krisis Rusia-Ukraine #angka korban #OHCHR #PBB