KIEV: Beberapa jam selepas memberi amaran tentang serangan Rusia di Kiev, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy hari ini memuat naik video yang menunjukkan beliau masih berada di ibu negara, meskipun ditawar oleh Amerika Syarikat untuk dibawa keluar dari negara itu.

Menerusi satu video yang dimuat naik di Twitter, Zelenskyy menegaskan bahawa beliau masih berada di Kiev dan beliau akan kekal mempertahankan negaranya.

Ia berikutan penularan maklumat palsu di media sosial yang mendakwa beliau telah melarikan diri dari Ukraine.

“Banyak maklumat palsu di Internet, seolah-olah saya menyerah kalah dan berundur.

“Ini situasinya. Saya berada di sini. Kami tidak akan menyerah kalah. Kami akan mempertahankan negara ini kerana senjata kami adalah kebenaran kami,” tegasnya dalam video tersebut.

Perkembangan terkini krisis Rusia-Ukraine

Beberapa jam sebelum itu, Zelenskyy menyampaikan perutusan khas melalui media sosial pada 12.30 tengah malam waktu tempatan.

Beliau memberi amaran bahawa Kiev bakal diserang Rusia dan nasib Ukraine bakal ditentukan pada malam itu.

Associated Press melaporkan, tentera Rusia memasuki Kiev pada awal Sabtu dan pertempuran masih berterusan sehingga pagi.