UKRAINE sedia menguasai semula mana-mana wilayah yang dikuasai Rusia, apabila mereka memperoleh jumlah senjata yang mencukupi.

Sehubungan itu, Presidennya Volodymyr Zelenskyy mengharapkan agar negara lain turut menyokong Ukraine dalam usaha memastikan wilayah-wilayah terlibat dikembalikan.

"Di mana-mana sahaja yang mereka cuba tawan, kita akan mendapatkan semuanya semula.

"Dan, ia bukan soal menunggu 10-20 tahun, atau berperang selama lapan tahun, seperti yang kita alami sejak 2014, ia cuma berkaitan bila kita memiliki senjata itu.

"Sebaik sahaja kita mendapatkannya dengan jumlah yang mencukupi, percayalah, kita akan segera dapatkan semula mana-mana wilayah yang diduduki," katanya.

Zelenskyy berkata demikian pada sidang media yang diadakan di sebuah stesen keretapi di Kiev pada Sabtu.