DUA kucing di New York menjadi haiwan peliharaan pertama di Amerika Syarikat (AS) yang disahkan positif COVID-19.

Kedua-dua kucing itu pada awalnya mengalami simptom penyakit pernafasan, namun pemeriksaan lanjut kemudian mendapati haiwan terbabit dijangkiti koronavirus.

Dua kucing yang berada di lokasi berbeza itu disyaki telah dijangkiti COVID-19 daripada pemilik atau individu di sekelilingnya.

Kedua-dua haiwan itu mempunyai peluang besar untuk pulih selepas diberi rawatan lanjut.

Pegawai Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, Dr. Casey Barton Behravesh yang mengesahkan kes itu meminta semua pihak supaya tidak bimbang.

"Kita merekodkan kes pertama haiwan peliharaan dijangkiti COVID-19 di AS. Adalah penting untuk dimaklumkan bahawa haiwan ini berkemungkinan besar dijangkiti daripada manusia.

"Sehingga kini belum ada bukti haiwan peliharaan boleh menyebarkan virus ini kepada manusia," katanya.

Pakar penyakit berjangkit AS, Dr Anthony Fauci, berkongsi pendapat sama dan menegaskan tiada bukti menunjukkan virus itu boleh disebar dari haiwan peliharaan kepada manusia.

Sebelum ini, seekor harimau Malaya di Zoo Bronx, New York turut disahkan positif COVID-19 selepas mengalami simptom selesema.