Lagi kajian terbaharu temui bukti COVID-19 berasal dari pasar di Wuhan

Astro Awani
Februari 27, 2022 01:46 MYT
Michael Worobey yang merupakan pengarang bersama kajian itu mendapati bahawa kes pada bulan Disember tertumpu kepada Pasar Huanan. - Foto Twitter/@michaelworobey
PENYELIDIKAN baharu menunjukkan pasar Wuhan di China adalah tempat asal wabak COVID-19, sekaligus melemahkan dakwaan bahawa virus itu berasal daripada makmal.
Lapor Newsweek.com, dua kajian baharu yang dikeluarkan pada Sabtu telah menyokong teori berkenaan.
Sebelum ini, dakwaan bahawa virus COVID-19 berasal daripada sebuah pasar basah di Wuhan telah lama menjadi teori utama komuniti saintifik namun ada yang menegaskan bahawa virus itu buatan manusia dan tesebar daripada makmal Institut Virologi Wuhan.
Salah satu kajian menggunakan analisis ruang menunjukkan bahawa kes COVID-19 terawal diketahui terletak berhampiran pasar.
Ia mendapati bahawa sampel positif virus itu terkait dengan vendor yang menjual haiwan hidup termasuk anjing rakun.
"Bersama-sama, analisis ini memberikan bukti positif kemunculan SARS-CoV-2 melalui perdagangan hidupan liar dan Pasar Huanan berkemungkinan menjadi pusat wabak COVID-19," kata kajian itu.
Kajian lain turut menganalisis corak kepelbagaian genomik virus pada awal pandemik dan mendapati bahawa penyakit itu berkemungkinan ditularkan kepada orang daripada haiwan.
Michael Worobey yang merupakan pengarang bersama kedua-dua kajian itu menulis dalam akaun Twitter miliknya, beliau dan pasukannya mendapati bahawa kes pada bulan Disember adalah lebih hampir dan lebih tertumpu kepada Pasar Huanan.

We found that cases in December were both nearer to, and more centered on, the Huanan market than could be expected given either the population density distribution of Wuhan, or the spatial distribution of COVID cases later in the the epidemic. Its epicenter was at the market

— Michael Worobey (@MichaelWorobey) February 26, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Bagaimanapaun, asal usul virus itu telah menjadi isu yang sangat diperdebatkan sejak permulaan wabak.
Ramai pakar kesihatan termasuk Dr Anthony Fauci telah lama mempromosikan teori bahawa pasar berkenaan sebagai asalnya wabak.
Namun Fauci terbuka kepada penyiasatan mengenai asal-usulnya, sementara yang lain menyatakan teori kebocoran makmal sebagai muktamad sambil meminta penelitian yang lebih mendalam dan penyiasatan ke dalam makmal.
Laporan WHO tahun lalu mendapati virus itu mungkin berasal daripada sebuah pasar di Wuhan, tetapi pegawai pada masa itu enggan menolak sepenuhnya kemungkinan virus itu berasal daripada makmal.
Kerajaan China juga telah menafikan teori kebocoran virus di makmal dan turut menolak penyiasatan dilakukan oleh WHO.
#China #COVID-19 #WHO #pasar