SEBELAS gerabak kereta api kargo tergelincir selepas landasannya dibom dalam kejadian antara stesen Hat Yai dan Padang Besar di daerah Sadao di Songkhla pada Sabtu.

Bangkok Post melaporkan, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.

Kejadian berlaku ketika tren kargo No.707 yang beroperasi antara Hat Yai dan Padang Besar menghampiri stesen kereta api Khlong Ngae di kampung Tha Phor Ork Moo 2 di tambon Tha Phor sejurus selepas tengah hari.

Sebelas daripada 20 gerabak itu terkeluar daripada landasan, yang turut mengalami kerosakan teruk.

Empat kakitangan kereta api itu iaitu dua pemandu, seorang juruteknik dan seorang kakitangan, bagaimanapun tidak cedera.

Kereta api itu dilaporkan mengangkut getah ke Malaysia.

Penguat kuasa undang-undang dan pihak berkuasa kereta api Thailand yang membuat siasatan menemui kesan letupan bom dan sedang menyiasat pihak bertanggungjawab.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Penguasa Polis Sadao Kol Bantern Laochareng berkata siasatan awal mendapati letupan bom tersebut menyebabkan kereta api barang itu tergelincir menyebabkan kontena jatuh daripada landasan.

Insiden itu turut menyebabkan landasan mengalami kerosakan teruk.

"Siasatan awal mendapati bom buatan sendiri seberat kira-kira 26 kilogram (kg) ditanam di atas landasan.

"Kami menemukan lubang besar di trek," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Berikutan itu, laluan Hatyai-Padang Besar akan ditutup selama beberapa hari bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan bermula esok