JAKARTA:Pemimpin dan pengasas Barisan Pembela Islam (FPI), Habib Rizieq Shihab menyerah diri kepada pihak berkuasa atas dakwaan  menghasut orang ramai melanggar sekatan COVID-19 dengan mengadakan perhimpunan besar-besaran.

Rizieq yang mengabaikan beberapa saman dan notis terhadapnya sebelum ini, tiba di Ibu Pejabat Polis Jakarta sehari selepas diberi amaran akan ditangkap.

Jurucakap polis Jakarta, Yusri Yunus memaklumkan, Rizieq dituduh melanggar protokol kesihatan wabak COVID-19  dengan mengadakan majlis keramaian sambutan Maulidur Rasul dan perkahwinan anak perempuannya.

Rizieq boleh dipenjara sehingga enam tahun jika didapati bersalah menghasut orang ramai melanggar peraturan kesihatan itu serta menghalang penguatkuasaan undang-undang.

Kehadiran Rizieq di beberapa majlis di Jakarta dan Jawa Barat menarik perhatian ramai pengikutnya yang mengabaikan penjarakan fizikal serta gagal memakai pelitup muka.

Pemimpin FPI berusia 55 tahun itu mencetuskan pelbagai kontroversi sejak pulang ke Indonesia dari Arab Saudi pada 10 November lalu.

Rizieq meninggalkan Indonesia pada 2017 untuk mengerjakan umrah di Makkah, selepas polis mendakwanya dalam kes komunikasi pornografi, selain didakwa menghina Pancasila.

Polis menggugurkan kedua-dua pertuduhan itu tahun lalu kerana bukti yang lemah, namun pihak berkuasa Arab Saudi menyekatnya keluar dari negara itu tanpa sebarang penjelasan.

Rizieq kembali ke Indonesia pada November lalu, dengan ribuan penyokongnya berkumpul untuk menyambut ketibaannya di lapangan terbang.

FPI sebelum ini dilihat sebagai kumpulan politik kecil dan memiliki rekod merosakkan pusat hiburan malam, melempar batu ke arah duta Barat dan menyerang kumpulan agama yang berlawanan dengannya.