CHICAGO: Sekurang-kurangnya lapan dilaporkan cedera dalam insiden letupan yang berlaku di tingkat atas sebuah pangsapuri di Chicago, Amerika Syarikat.

Menurut pihak berkuasa, letupan di bangunan West Washington Boulevard dan North Central Avenue berlaku kira-kira jam 9 pagi waktu tempatan.

Usaha mencari dan menyelamat mangsa yang mungkin terperangkap di dalam runtuhan diteruskan dan punca letupan masih dalam siasatan.

Siasatan turut melibatkan Skuad Pengebom Polis Chicago dan ejen dari Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Bahan Letupan.

Menurut saksi kejadian, mereka mendengar bunyi letupan kuat sehingga menyebabkan pangsapuri tersebut bergegar.