Lapan maut termasuk dua kanak-kanak dalam kebakaran di Paris

AFP
September 2, 2015 15:27 MYT
Polis kini sedang menyiasat punca kebakaran yang turut turut mencederakan empat yang lain ini, sama ada ia mempunyai unsur jenayah atau sebaliknya. - AFP Photo / Norman Grandjean
Sekurang-kurangnya lapan orang termasuk dua kanak-kanak yang cuba menyelamatkan diri melalui tingkap terkorban dalam satu kebakaran di sebuah pangsapuri di Paris, pada awal pagi Rabu.
Menurut pihak berkuasa, pangsapuri berkenaan terletak di kaki bukit Montmartre, salah sebuah lokasi yang terkenal di bandar itu dan lebih 100 jentera telah dikerahkan bagi memadam kebakaran yang bermula dari tingkat bawah pangsapuri berkenaan.
Polis kini sedang menyiasat punca kebakaran yang turut mencederakan empat yang lain ini, sama ada ia mempunyai unsur jenayah atau sebaliknya.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Pierre-Henry Brandet berkata insiden ini mungkin berpunca daripada perbuatan berniat jahat memandangkan dua pasukan bomba dikerahkan pada malam yang sama untuk memadamkan api itu.
Pasukan bomba pada mulanya dipanggil ke tempat kejadian tiba pada jam 2.20 pagi untuk memadamkan api, namun dipanggil sekali lagi pada dua jam kemudian untuk memadamkan api kedua, yang dilaporkan lebih marak.
Penyiasat jenayah telah mengambil alih siasatan kebakaran ini selepas ia dilaporkan insiden kebakaran api yang paling dahsyat di Paris sejak 2005.
Menteri Dalam Negeri, Bernard Cazeneuve, yang turut melawat ke tempat kejadian berkata empat yang cedera dalam insiden itu masih dalam keadaan kritikal.
Beliau juga berkata ia terlalu awal untuk menentukan punca tragedi ini.
Kebakaran dilaporkan bermula dari tingkat bawah bangunan itu sebelum merebak ke tangga bangunan.
Sementara itu, Datuk Bandar Paris Anne Hidalgo berkata kira-kira 15 bangunan di kawasan itu terjejas akibat kebakaran itu.
#Kanak-kanak #kebakaran #Montmartre #pangsapuri #Paris