Lapangan terbang Indonesia dalam keadaan berjaga-jaga cegah COVID-19

Astro Awani
Disember 10, 2023 03:00 MYT
Menurut data Kementerian Kesihatan pada 6 Disember, jumlah kes COVID-19 di Indonesia meningkat sebanyak 35 hingga 40 kes. - Foto fail/REUTERS
JAKARTA: Pejabat Kesihatan Pelabuhan (KKP) Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang, Banten, Indonesia melaksanakan beberapa langkah pencegahan bagi mengekang penularan COVID-19 di tengah peningkatan kes di Singapura.
Menurut ketua KKP, Naning Nugrahini, pihaknya memperhebatkan pengawasan terhadap pengembara dalam dan luar negara sebagai langkah berjaga-jaga menjelang cuti akhir tahun.
Beliau berkata setakat ini KKP tidak mengesan sebarang kes COVID-19.
Namun melihat pergerakan penumpang yang tinggi, KKP mengambil langkah terus berwaspada dan menyediakan kemudahan kesihatan seperti klinik kesihatan untuk penumpang yang menunjukkan simptom COVID-19.
Katanya, jika ada penumpang dikesan menunjukkan simptom COVID-19, mereka akan dihantar ke klinik KKP untuk pemeriksaan doktor termasuk ujian antigen.
Selain itu, beliau berkata pejabatnya sedang menyelaras dengan pasukan doktor untuk menjangka penularan COVID-19 dengan menjalankan pengesanan kontak dan ujian kesihatan untuk penumpang.
Pasukan petugas kawalan COVID-19 juga akan meningkatkan penguatkuasaan protokol kesihatan untuk penumpang selain pemasangan pengimbas haba badan dan penempatan pegawai KKP di setiap terminal, katanya.
Menurut data Kementerian Kesihatan pada 6 Disember, jumlah kes COVID-19 di Indonesia meningkat sebanyak 35 hingga 40 kes, dengan jumlah kemasukan pesakit ke hospital mencecah 60 hingga 131 kes dan jumlah kematian meningkat kepada tiga kes.
#COVID-19 #KKP #Pengembara #lapangan terbang