BANGKOK:Lebih 28,000 keluarga dari 625 kampung di empat wilayah di selatan Thailand - Narathiwat, Yala, Pattani dan Songkhla - terjejas oleh banjir serta kejadian tanah runtuh susulan hujan lebat berterusan sejak 4 Jan lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Boontham Lertsukhikasem berkata Narathiwat merupakan provinsi paling teruk dilanda bencana itu, melibatkan 22,038 keluarga di 13 daerah.

Di Yala, sebanyak 3,284 keluarga terlibat, Pattani (2,810 keluarga) dan Songkhla (60 keluarga), katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Menurutnya, pihak berkuasa turut membuka pusat pemindahan sementara bagi menempatkan penduduk terjejas iaitu tujuh di Narathiwat, tiga di Yala dan dua di Songkhla.

-- BERNAMA