MO SO: Lebih 30 orang termasuk wanita dan kanak-kanak dibunuh dan mayat mereka dibakar di negeri Kayah, Myanmar.

Menurut Kumpulan Hak Asasi Manusia Karenni, kesemua mayat rentung itu dipercayai dibunuh oleh tentera Myanmar dan ditemukan berhampiran Kampung Mo So di pekan Hpruso pada Sabtu.

Media tempatan melaporkan, tentera Myanmar mendakwa mereka terpaksa melepaskan tembakan ke arah sekumpulan ‘pengganas yang lengkap bersenjata’ di kampung tersebut.

Junta memaklumkan, tembakan dilepaskan selepas sebuah kenderaan yang dinaiki tujuh penumpang tidak berhenti ketika pemeriksaan keselamatan dan mengesyaki mereka adalah pengganas.