BANGKOK: Pekerja Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) mengutip lebih 400,000 krathong (bakul terapung) selepas berakhirnya Festival Loy Krathong.

Dalam satu kenyataan, Gabenor Bangkok Aswin Kwanmuang berkata pekerja BMA mengumpul 403,235 krathong yang dikutip dari Sungai Chao Phraya, tasik di taman awam dan terusan di Bangkok dari 8 malam Jumaat sehingga 5 pagi Sabtu.

Daripada jumlah itu sebanyak 388,954 atau 96.46 daripadanya diperbuat daripada bahan terbiodegradasi manakala 14, 281 atau 3.5 peratus lagi daripada bahan tidak terbiodegradasi.

"Tahun ini, jumlah kutipan krathong berkurangan sebanyak 89,302 atau 18.13 peratus berbanding tahun lalu.

"Bilangan krathong yang diperbuat daripada foam (busa) juga berkurangan daripada 3.60 peratus pada 2020 kepada 3.54 peratus tahun ini," katanya.

Beliau berkata pada tahun lalu BMA mengumpul 492,537 krathong di Bangkok.

Aswin menambah, krathong yang diperbuat daripada bahan semula jadi akan dihantar ke loji baja organik di Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Nong Khaem dan Pusat Pelupusan Sisa Pepejal On Nut manakala yang diperbuat daripada busa akan dihantar ke tapak pelupusan.

Tinjauan yang dijalankan Bangkok Poll menunjukkan majoriti orang tidak bercadang untuk menyertai Festival Loy Krathong tahun ini disebabkan bimbang penularan COVID-19.

Festival Loy Krathong juga dikenali sebagai "Festival of Lights" dan perayaan tanglung terapung disambut semasa bulan purnama dalam 12 bulan kalendar lunar Thai.

-- BERNAMA