SEMALAM, Astro AWANI membawakan laporan lebih 30,000 juadah berbuka puasa sudah diedarkan kepada pemandu di jalan raya sekitar Abu Dhabi dan Al Ain sejak awal Ramadan.

Hari ini, kisahnya hampir sama, cuma lokasi sahaja yang berbeza.

Arab News melaporkan kira-kira 1.3 juta juadah berbuka puasa telah diagihkan kepada pengunjung di Masjid Nabawi.

Ya betul, 1.3 juta telah diagihkan, bermula dari awal Ramadan sehinggalah pada hari ke 10.

Bukan itu saja, lebih 1.2 juta botol air Zamzam juga diagihkan kepada jemaah di masjid tersebut dalam tempoh sama.

Selain itu, sebanyak 14,000 bekas air disediakan di sekeliling masjid, diisi sebanyak tiga kali sehari bagi memastikan dapat memenuhi keperluan pengunjung.

BACA: Polis UAE edar juadah berbuka puasa kepada pemandu

Begitulah meriahnya Ramadan di Madinah dan kerana itu, ramai umat Islam gemar untuk menyambut bulan kemuliaan itu di sana.

Bukan itu sahaja, dilaporkan sebanyak hampir 6.4 juta jemaah telah mengunjungi Masjid Nabawi dalam 10 hari  pertama Ramadan.

Puratanya, kira-kira 600,000 orang dalam satu hari.

JENDELA RAMADAN AL-MUBARAK

Daripada jumlah tersebut, sebanya 132,345 orang berkesempatan menunaikan solat di dalam Al Rawdah Al Sharifah, menurut jabatan Urusan Umum Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Begitulah meriahnya Ramadan disambut di sana pada setiap tahun, hanya sepi seketika tatkala pandemik mengganas dua tahun lalu.