SYARIKAT pengeluar mainan Denmark, LEGO mendedahkan keluaran terbaharunya, kapal RMS Titanic.

Replika tersebut dilaporkan berukuran 53 inchi (135 senitmeter) dan mengandungi 9,090 kepingan LEGO, yang terbanyak pernah dikeluarkan.

Replika tersebut terbahagi kepada tiga bahagian bagi mendedahkan bahagian dalam kapal itu.

Model tersebut dibuat pada skala 1:200 dan mengandungi pusat rekreasi, dek pemerhatian dan juga kolam renang.

Menurut Ketua Jurureka LEGO Group, Mike Psiaki, kapal ikonik itu dibina semula menggunakan pelan asal kapal berkenaan.

"Ketika kapal Titanic dilancarkan, ia merupakan kapal paling maju pada masa itu.

"Kami sangat teruja diberi peluang membina semula kapal ikonik ini menggunakan LEGO berdasarkan pelan asal kapal berkenaan yang dilukis lebih seabad lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Set LEGO ini boleh ditempah bermula 1 November dan mula dijual pada 8 November depan dengan harga AS$629.99 (RM2,600).