Seorang lelaki di Korea Selatan bukan sahaja membunuh teman wanitanya, tetapi juga bertindak menyamar sebagai wanita itu selama dua minggu selepas itu.

Lelaki yang hanya dikenali sebagai Lee itu membunuh Sunny Kim, 26, pada 2 Mei lalu dengan mencekik wanita tersebut ketika sedang tidur. Kim sebelum itu telah memutuskan hubungannya dengan Lee.

Bercakap kepada BuzzFeed News, adik Kim yang enggan namanya didedahkan memberitahu, dia langsung tidak menyangka kakaknya itu telah mati. Ini kerana dia ada berhubung dengan Kim beberapa kali selepas tarikh 2 Mei.


"Cara dia menulis mesej sama seperti Kim selalu lakukan. Jadi kami tak syak apa-apa," katanya.

Bukan sekadar mesej di telefon bimbit, Lee turut menyamar dan memuat naik status di laman sosial bagi pihak Kim demi mengaburi mata ramai.




Kim sepatutnya memulakan kerja baharunya namun kegagalannya hadir membuatkan bakal majikannya menghantar surat pelanggaran kontrak. Apabila khabar itu sampai kepada keluarga, mereka mula mengesyaki sesuatu tidak kena.

Lee hadir ke balai polis dua minggu selepas kejadian dan mengaku membunuh Kim. Mayat Kim ditemui ditanam di kawasan pergunungan berdekatan Tasik Cheongpung.

Kim, graduan ekonomi State University of New York, dikatakan pernah membuat laporan polis kerana didera Lee, tahun lalu. Namun tiada tindakan diambil.