Sebuah kejadian letupan bom di tengah-tengah kawasan beli-belah yang sibuk di Baghdad pada awal Ahad telah mengorbankan sekurang-kurangnya enam orang serta menyebabkan kebakaran.

AFP melaporkan, insiden letupan di Karrada itu juga mencederakan sekurang-kurangnya 20 orang, yang ketika itu sedang sibuk berbelanja pada penghujung bulan Ramadan.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Saad Maan berkata bom tersebut dipasang pada sebuah kereta yang diletakkan berdekatan sebuah restoran, sekali gus mengakibatkan beberapa buah kedai berdekatan musnah dalam kebakaran.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab dalam serangan itu, namun pihak berkuasa sedang menyiasat kaitannya dengan kumpulan Daish yang sering menyasarkan pengeboman ke atas orang awam di kota itu dan lokasi-lokasi lain.

Anggota militan Daish menguasai kawasan utara dan barat Baghdad pada 2014, namun cengkamannya semakin berkurangan kerana kehadiran tentera Iraq.