SIMFEROPOL: Satu letupan kuat menggemparkan tengah bandar Melitopol, Ukraine wilayah Zaporizhzhia yang dikuasai Rusia pada pagi Isnin, kata Vladimir Rogov, anggota majlis pentadbiran tentera-sivil wilayah itu.

"Hari ini kira-kira 7.40 pagi (04:40 GMT) waktu tempatan, satu letupan kuat kedengaran di tengah-tengah bandar.

"Penduduk di Bohdan Khmelnytsky, Sergei Kirov dan Petro Doroshenko mendakwa tingkap dan dinding rumah mereka bergegar. Pusat bandar diselubungi asap hitam," kata Rogov di Telegram.

Rogov mendakwa letupan itu merupakan "serangan pengganas," dan menyalahkan kumpulan sabotaj Ukraine yang didalangi pihak berkuasa di Kyiv, lapor Sputnik.

Menurut maklumat awal, tiga orang cedera akibat serangan itu, dengan dua mangsa dikejarkan ke hospital.

Pegawai penguatkuasa undang-undang tempatan berkata, siasatan awal mendapati punca letupan datang dari sebuah kereta yang diletakkan di tengah bandar.

-- BERNAMA