Sekurang-kurangnya 34 orang maut manakala puluhan yang lain cedera di dalam kejadian letupan di Lapangan Terbang Brussels, Belgium dan stesen metro hari ini lapor media tempatan di Belgium.

Sebelum itu dua letupan kuat kedengaran di Lapangan Terbang Brussels disusuli dengan asap kelihatan dan orang ramai kelihatan lari bertempiaran.

Menurut Jabatan Bomba Belgium, 14 orang terbunuh dan lebih 90 cedera dalam serangan bom di lapangan terbang itu.

Dua wanita cedera selepas dua letupan berlaku pada Selasa, 22 Mac 2016 di Lapangan Terbang Brussels, Belgium. Berikutan insiden ini, semua penerbangan keluar dan masuk dihentikan serta merta.- Foto Ketevan Kardava/ Georgian Public Broadcaster
Gambar ini diambil pada 22 Mac 2016, yang menunjukkan tingkap di Lapangan Terbang Brussel, Zaventem pecah selepas dua letupan berlaku di sini. Letupan ini turut mengakibatkan sekurang-kurangnya 13 maut dan 35 cedera. - Foto AFP / BELGA / JONAS ROOSENS


Susulan dua letupan tersebut, satu lagi letupan menggegarkan pula stesen kereta api metro Maelbeeck di ibu kota itu, dan menyebabkan beberapa orang cedera.

Sekurang-kurangnya 20 maut dalam satu letupan itu, menurut Datuk Bandar Yvan Mayeur.

FOTO ALBUM: Letupan di Lapangan Terbang Brussels dan metro ragut nyawa


Berikutan kejadian letupan ini, kerajaan Belgium telah meningkatkan amaran keganasan ke peringkat paling tinggi.

Pada awalnya beberapa imej kepulan asap dari lapangan terbang terbabit turut dimuat naik di laman sesawang RTBF penyiar awam Belgium. Turut dipaparkan, beberapa tingkap bangunan retak.


Laporan oleh penyiar itu turut menyebut, letupan berlaku sekitar jam 8 pagi waktu tempatan dan pihak berkuasa serantau telah menggerakkan mod kecemasan dengan semua penerbangan keluar dan masuk dihentikan serta merta.
Sementara itu, pihak kedutaan Malaysia di Belgium dalam satu kenyataan ringkas kepada Astro AWANI memaklumkan, tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam insiden letupan tersebut.

"Pihak Kedutaan telah berhubung dengan Persatuan Pelajar Malaysia di Belgium dan juga Persatuan Profesional di Belgium & Luxembourg dan didapati tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam insiden tersebut," kata jurucakap kedutaan tersebut.


Susulan dua letupan tersebut, satu lagi letupan berlaku di stesen kereta api metro Maelbeeck, dan menyebabkan beberapa cedera.
Letupan berlaku hanya beberapa hari selepas penahanan suspek serangan Paris Saleh Abdeslam. Dalam kejadian itu 130 terbunuh.

Kejadian berkenaan turut mendapat perhatian beberapa pemimpin dunia, termasuk Perdana Menteri Britain, David Cameron, Presiden Lithuania Dalia Grybauskaite dan Presiden Georgia Giorgi Margvelashvili.

Lapangan Terbang Brussels akan ditutup sehingga Rabu, jam 6 pagi waktu tempatan.

Perkhidmatan kereta api Eurostar di London ke Brussel juga ditangguhkan berikutan insiden ini.