LA PALMA: Gugusan awan wap dan gas muncul dari Lautan Atlantik di luar La Palma, Sepanyol ketika lava dari Gunung Berapi Cumbre Vieja mengalir masuk ke dalam lautan.

Walaupun bimbang dengan gas beracun, pihak berkuasa menyatakan udara di kawasan pedalaman adalah selamat.

Lava dari gunung berapi yang meletus 10 hari lalu mengalir ke lautan tepat sebelum tengah malam Selasa lalu berhampiran bandar Tazacorte dan mula berkumpul di kaki tebing gunung tersebut sehingga menghasilkan beberapa serpihan di permukaan air.

Ahli Geologi, Juan-Tomas Vazquez berkata, struktur yang terhasil akibat fanomena tersebut dikenali sebagai 'lava delta'.

Seorang pakar pengkaji laut, Eugenio Fraile yang bertanggungjawab ke atas misi penyelidikan pula berkata, gas wap yang terhasil tidak menimbulkan risiko buat masa ini tetapi menekankan pentingnya usaha pemantauan.

Ribuan penduduk telah dipindahkan dari rumah mereka sejak gunung berapi meletus pada 19 September lalu sekaligus mengakibatkan lava mengalir ke hampir 530 rumah dan beberapa ladang.

Sepanyol telah mengklasifikasikan La Palma sebagai zon bencana dan akan memberikan sokongan kewangan untuk pulau itu.

Tiga kampung ditutup kerana pihak berkuasa bimbang kemungkinan letupan dan awan gas beracun ketika lava mengalir ke laut.

Datuk Bandar Tazacorte, Juan Miguel Rodriguez Acosta memberitahu, setiap penduduk dalam radius 2 kilometer (km) telah dipindahkan.

Walaupun diberitahu kualiti udara dalam keadaan baik, namun penduduk dijangka tidak akan dapat tinggal di rumah mereka untuk beberapa ketika.

Syarikat penerbangan tempatan Binter mengatakan penerbangan pergi dan balik dari La Palma telah dimulakan semula pada Rabu setelah ia dibatalkan minggu lalu.