LA PALMA: Lapangan terbang di La Palma, sebuah pulau di Sepanyol, terpaksa ditutup akibat letusan gunung berapi yang semakin kuat.

Gunung berapi Cumbre Vieja mula meletus minggu lepas dan memusnahkan lebih 350 rumah serta memaksa ribuan penduduk berpindah.

Asap tebal boleh dilihat setinggi 4 kilometer menyebabkan kesukaran untuk kapal terbang, kata pihak berkuasa pada Sabtu.

Penutupan ini menyebabkan banyak penerbangan ditangguhkan serta ramai pelancong terkandas di pulau berkenaan.

Letusan gunung berapi ini telah memasuki fasa terbaharu serta memuntahkan lava daripada saluran baharu.

Landasan kapal terbang turut diliputi abu tebal namun kerja-kerja pembersihan sedang giat dilakukan, kata pihak berkuasa.

Pada Jumaat, anggota bomba terpaksa mengundurkan diri daripada kawasan lapangan terbang itu akibat letusan yang semakin kuat.

Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez berkata, keadaan darurat akan diisytiharkan di pulau berkenaan minggu depan.