CALIFORNIA: Pada masa kakitangan penjara menjawab panggilannya untuk mendapatkan bantuan, air ketuban Sandra Quinones telah pecah selama dua jam.

Kakitangan penjara di Orange County, di mana wanita hamil itu dipenjarakan, enggan menghubungi ambulans, sebaliknya memandu sendiri ke hospital atas alasan "ia bukan kecemasan".

Malah ketika dalam perjalanan ke hospital, mereka sempat singgah ke Starbucks.

Kelewatan itu mengakibatkan Quinones kehilangan bayinya.

Lebih enam tahun selepas peristiwa pahit pada Mac 2016, Lembaga Penyelia Orange County mengundi sebulat suara minggu lalu bayaran pampasan AS$480,000 (RM2.1 juta) bagi menyelesaikan tuntutan saman sivil atas dakwaan kelewatan menerima rawatan.

Dalam kertas aduan, perjalanan ke Starbucks disebut sebagai contoh yang jelas memperlihatkan ketidakpedulian terhadap Quinones dan bayinya.

Peguam Quinones, Richard Herman, memberitahu Los Angeles Times, anak guamnya bergelut dengan masalah kesihatan mental sejak kehilangan bayinya.

Semasa kejadian, Quinones sedang hamil enam bulan.

Wanita berusia 28 tahun itu sedang menjalani hukuman penjara 70 hari selepas ditahan kerana memiliki bahan terkawal untuk dijual, lapor New York Times.

Quinones sudah memaklumkan pegawai penjara tentang kehamilannya ketika dia ditahan, menurut aduan yang difailkan di mahkamah.

Namun pada hari kejadian, dia mengalami kontraksi dan meminta untuk dibawa ke hospital, kakitangan penjara tidak mengendahkan permintaannya.

"Lebih dua jam berlalu ada seorang pegawai datang untuk memeriksa keadaannya Quinones," kata aduan itu.

Quinones pada mulanya memfailkan saman itu pada April 2020, namun ia ditolak.

Mahkamah Rayuan kemudian membatalkan keputusan itu setahun kemudian.

"Beliau tegas meneruskan kes ini. Ini adalah perjuangan yang panjang dan sukar," kata Herman.

“Saya gembira dengan keputusan ini. Semoga ini akan membawa kepada rawatan dan penjagaan yang lebih baik untuk wanita hamil di penjara Orange County,"kata Nicholas Kohan, seorang lagi peguam Quinones.