NARITA: Lima penerbangan terpaksa ditunda sehingga 15 minit di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo selepas seekor kura-kura dikesan melintasi laluan pesawat Jumaat lalu.

Memetik laporan agensi antarabangsa News.com.au, kura-kura berkenaan dikesan salah seorang juruterbang yang sedang bertugas dan bersiap sedia untuk berlepas.

Bertindak atas maklumat, menara kawalan trafik terpaksa menunda kesemua penerbangan di laluan sepanjang 4,000 meter itu.

Beberapa kru lapangan terbang bagaimanapun akhirnya berjaya menangkap kura-kura seberat 1.8 kilogram dan sepanjang 30 sentimeter itu menggunakan jaring.

Siasatan awal mendapati, reptilia itu dipercayai keluar daripada salah sebuah kolam takungan berhampiran lapangan terbang terbabit.

Menurut pihak pengurusan lapangan terbang, kelibat haiwan lain seperti anjing atau kucing atau anjing yang sesat sudah biasa dilihat di kawasan itu, namun kura-kura adalah sesuatu yang baharu.