JAKARTA: Ribuan mahasiswa dan persatuan semalam mengadakan demonstrasi di ibu negara dan beberapa bandar lain kerana membantah kenaikan harga bahan api.

Persatuan pekerja turut menolak Undang-undang Omnibus Law Cipta Kerja dan menuntut gaji minimum untuk tahun depan dinaikkan.

Demonstrasi dilakukan di kawasan Medan Merdeka dan kompleks parlimen di Jakarta Pusat, serta di beberapa bandar lain, antaranya Aceh, Sulawesi dan Yogyakarta.

Menurut media tempatan, peserta menzahirkan rasa bimbang dengan kenaikan harga yang akan menyebabkan semua harga komoditi, makanan dan pengangkutan umum turut meningkat.

Seramai 8,000 anggota keselamatan terdiri dari polis dan tentera ditugaskan untuk mengawal ketenteraman awam sepanjang demonstrasi berlangsung di ibu negara.

Sejak Sabtu harga runcit Pertalite naik 2,350 rupiah seliter kepada 10,000 rupiah seliter dan diesel naik 1,650 rupiah seliter kepada 6,800 seliter (RM1=3,308 rupiah).

Harga Pertamax, tanpa subsidi, juga turut naik 2,000 rupiah kepada 14.500 seliter seiring harga minyak global dan penyusutan mata wang rupiah.

Bagaimanapun, kerajaan Indonesia telah melancarkan pemberian bantuan sosial bagi mengurangkan kesan kenaikan harga bahan apai yang pertama kali dilakukan sejak 2014.

Bajet untuk subsidi tenaga dijangka melonjak kepada 698 trilion rupiah tahun ini daripada 502 trilion rupiah sekiranya harga bahan api dikekalkan.

-- BERNAMA