ISLAMABAD: Mahkamah Tinggi Pakistan menggantung waran tangkap yang dikeluarkan terhadap bekas Perdana Menteri Imran Khan atas tuduhan rasuah.

Perkara itu dinyatakan Faizal Fareed Chaudhry yang merupakan sebahagian daripada pasukan undang-undang Imran kepada Al Jazeera.

Menurut Faizal, mahkamah telah mengarahkan polis untuk tidak menangkap Imran sehingga 30 Mac ini.

Tambahnya, mahkamah juga memerintahkan pemimpin Tehreek-e-Insaf (PTI) itu hadir ke mahkamah pada tarikh sama bagi perbicaraan tersebut.

Pada Jumaat, parti pimpinan Imran telah memfailkan satu lagi rayuan di Mahkamah Tinggi Islamabad untuk menggantung waran tangkap selepas mahkamah lebih rendah menolak rayuan sama sehari sebelum itu.

Waran tangkap itu dikeluarkan sebuah mahkamah di Islamabad berikutan Imran gagal hadir untuk berdepan pertuduhan menjual secara haram hadiah negara yang diterimanya daripada pembesar asing ketika menjadi Perdana Menteri dari 2018 hingga 2022.

Pada Sabtu, polis menyerbu kediaman Imran di bandar timur Lahore dan menahan 30 individu selepas seorang daripadanya melepaskan tembakan dari bumbung bangunan itu.

Menurut Imran, serbuan itu menunjukkan bahawa pihak polis mempunyai niat jahat untuk menangkap dan menyumbatnya ke dalam penjara.

"Saya bersedia untuk pergi ke mahkamah Islamabad. Tetapi cara mereka menyerang rumah saya, niat di sebaliknya bukan untuk mengemukakan saya ke mahkamah," kata Imran dalam mesej video yang dikeluarkan oleh parti PTI beliau.

Legenda kriket itu juga mengulangi dakwaannya bahawa kerajaan cuba menahannya bagi menghalang beliau mengambil bahagian dalam pilihan raya.

Sebelum ini Imran dilaporkan bersedia untuk mengemukakan aku janji bertulis bahawa beliau akan hadir secara sukarela ke mahkamah pada Sabtu, namun, mahkamah menegaskan bahawa aku janji sedemikian adalah tidak mencukupi.

Prosiding undang-undang terhadap Imran, 70, bermula selepas beliau disingkirkan menerusi undi tidak percaya di Parlimen tahun lalu.

Beliau kini disabitkan dengan pelbagai kes jenayah termasuk keganasan, cubaan membunuh dan pengubahan wang haram. - Sinar Harian memetik Agensi