Malaysia menyambut baik jaminan China untuk menyelesaikan isu tuntutan wilayah di kawasan Laut China Selatan secara rundingan dan bukannya kekerasan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata komitmen China itu amat penting dan berharap negara-negara yang terbabit dalam isu itu mengadakan rundingan lanjut.

"Ini satu jaminan yang baik, jika kita komited tandatangan apa yang disebut tatalaku (COC), maka penggunaan kekerasan dan juga ancaman kekerasan tak boleh dilakukan kerana itu bertentangan dengan COC, deklarasi yang diputuskan nanti," katanya.

Menurut beliau, para pemimpin Asean mahu mendapatkan komitmen semua pihak yang terlibat dalam tuntutan itu dan memastikan prinsip-prinsip berkaitan deklarasi tatalaku bagi Laut China Selatan dipatuhi.
Ditanya apa yang akan berlaku jika China tidak mematuhi tatalaku itu, Najib berkata ia akan bercanggah dengan COC.

"Ia akan bercanggah dengan apa yang disuarakan hari ini. Mereka janjikan sesuatu yang positif, betapa Asean penting kepada mereka, dan mereka hendak pertingkatkan hubungan dengan Asean," katanya pada sidang akhbar bersama wartawan Malaysia yang membuat liputan di Sidang Kemuncak Asean ke-23 di sini hari ini.

Sebelum itu, Najib turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri China Li Keqiang.

Malah, Najib berkata cadangan beliau supaya isu itu diselesaikan secara kesederhanaan disambut baik oleh Li.

"Perdana Menteri China menganggap ini cadangan yang baik. Malah di kalangan masyarakat dan negara timur ada falsafah seumpama itu, iaitu falsafah dan pengajaran Confucius yang sesuai dengan konsep kesederhanaan," kata Najib.

China, Taiwan dan empat negara anggota Asean iaitu Brunei, Malaysia, Filipina dan Vietnam membuat tuntutan wilayah di kawasan Laut China Selatan yang menimbulkan pertikaian.

Li dalam ucapan di Sidang Kemuncak Asean-China ke-16 hari ini menyeru pihak yang terbabit dalam pertikaian mengenai Laut China Selatan supaya berusaha secara aktif untuk mengadakan pembangunan bersama sementara menunggu tercapainya penyelesaian berhubung kawasan yang menjadi pertikaian.

Mengenai cadangan Li supaya diadakan pembangunan bersama di kawasan yang menjadi pertikaian, Najib berkata ia boleh dibincangkan dengan China.

Najib berkata komitmen China juga jelas apabila ia mencadangkan kemungkinan satu perjanjian berkaitan semangat kejiranan, persahabatan dan kerjasama ditandatangani antara China dan Asean.

Najib juga berkata para pemimpin Asean mengambil maklum rantau itu sudah mencapai 80 peratus dari segi pematuhan bagi merealisasikan Komuniti Asean menjelang 2015.

Katanya, mereka memutuskan supaya dipertingkatkan lagi usaha-usaha agar pematuhan 100 peratus dapat dicapai untuk benar-benar menjadikan Asean sebuah komuniti ekonomi menjelang 2015.

"Saya dan rakan-rakan juga menekankan sebuah persatuan yang berorientasikan penduduk, relevan Asean kepada rakyat diusahakan," katanya.

Perdana Menteri berkata Sidang Kemuncak juga mahukan kesalinghubungan Asean dari segi fizikal dan infrastruktur termasuk hubungan udara dan jalur lebar dipertingkatkan agar pertumbuhan lebih menyeluruh dan lancar dapat dibuat.

Ditanya sama ada isu jerebu dibincangkan selepas mesyuarat tiga hala antara Malaysia, Indonesia dan Singapura yang dijadualkan hari ini dibatalkan, Najib berkata para pemimpin tiga negara itu ada membincangkannya secara ringkas di luar sidang itu.

"Singapura ada minta kerjasama Malaysia dan Indonesia untuk perangi masalah jerebu. Kita akan kaji masalah teknikal," tambah beliau.