Malaysia sokong perjuangan Palestin, kutuk tindakan cemar kesucian Masjid Al-Aqsa

Bernama
Jun 15, 2023 23:30 MYT
Mohd Na'im (dua, kiri) menerima kunjungan hormat Syeikh Dr Ekrima (dua, kanan) di Kompleks Islam Putrajaya, 15 Jun 2023. Turut hadir, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah (kiri). -- fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Malaysia menyokong perjuangan rakyat Palestin dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel yang menyalahi undang-undang, mencabuli hak asasi manusia serta mencemarkan kesucian Masjid Al-Aqsa.
Perkara itu dizahirkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, ketika menerima kunjungan hormat Imam Besar Masjid Al-Aqsa Syeikh Dr Ekrima Sabri di pejabatnya di sini semalam.
Mohd Na'im berkata Malaysia sentiasa konsisten dalam memperjuangkan setiap hak rakyat Palestin yang berpaksikan kepada keadilan dan menentang sebarang isu keganasan serta kekejaman.
"Saya turut menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin dan perjuangan mereka, bagi mendapatkan kemerdekaan daripada pendudukan haram Israel.
"Sokongan juga diberikan bagi merealisasikan aspirasi untuk menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka, berdasarkan sempadan pra-1967 dan Baitulmuqaddis sebagai ibu kotanya," katanya dalam sidang media selepas pertemuan itu.
Sementara itu, Syeikh Dr Ekrima Sabri merakamkan penghargaan terhadap Malaysia, yang sentiasa menyokong dan membantu Palestin dalam apa jua keadaan.
Beliau turut menegaskan tanggungjawab mempertahankan Masjid Al-Aqsa merupakan tanggungjawab semua orang Islam, dan bukannya rakyat Palestin sahaja.
"Ini kerana Masjid Al-Aqsa ada kedudukan tinggi seperti Masjidil Haram dan Masjid Nabawi," katanya serta menambah bahawa media juga memainkan peranan penting menyebarkan maklumat dan setiap perkara yang berlaku di Palestin.
Sidang media Syeikh Dr Ekrima Sabri diterjemahkan oleh Pegawai Khas kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Syed Amru Syed Abdullah.
-- BERNAMA
#Israel #Masjid Al-Aqsa #Palestin #Mohd Na'im Mokhtar