KUALA LUMPUR: Malaysia kekal berpendirian tidak mahu ketua junta Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing menghadiri sidang kemuncak ASEAN yang akan diadakan dari 26 hingga 28 Oktober ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, perkara itu tidak akan dikompromi sekiranya tiada kemajuan dalam lima konsensus utama berhubung kemelut di Myanmar yang dicapai pada April lalu.

“Saya menghargai kenyataan Menteri Erywan (Utusan Khas ASEAN ke Myanmar, Erywan Yusof) melakukan apa saja yang mampu dilakukan untuk kemanusiaan bagi memenuhi kewajiban dan mandat untuk pelaksanaan lima konsensus dicapai.

“Namun petang ini saya rasa kami akan melihat perincian objektif, jika tiada kemajuan yang nyata, maka pendirian Malaysia akan tetap dengan pendirian tidak mahu Jeneral (Min Aung Hlaing ) hadir ke sidang kemuncak ASEAN. Tiada kompromi dalam perkara itu,” tegas beliau.

Beliau berkata demikian dalam sidang media secara maya, pada Jumaat.

Dalam masa yang sama, Saifuddin turut mengesahkan Menteri Luar Junta Myanmar, Wunna Maung Lwin akan menghadiri mesyuarat tergempar Menteri-menteri luar negeri ASEAN, hari ini.

Mesyuarat itu kemungkinan besar membincangkan isu berkaitan Myanmar, antara lain termasuk mengenai penyertaan Jeneral Min Aung Hlaing pada sidang kemuncak ASEAN yang akan diadakan dari 26 hingga 28 Okt.

Beberapa negara ASEAN mengecam tindakan keras tentera junta Myanmar kerana tiada kemajuan dalam lima konsensus disepakati blok itu.

Lima konsensus berkenaan antaranya menyentuh mengenai dialog antara semua pihak, akses bantuan kemanusiaan dan menghentikan penindasan dan kekerasan tentera terhadap penunjuk perasaan pro-demokrasi di Myanmar.

Myanmar melakukan rampasan kuasa pada 1 Februrai tahun ini dan menggulingkan kerajaan dipilih melalui pilihan raya dipimpin Aung San Suu Kyi.

Sejak itu, demonstrasi dilakukan kumpulan pro-demokrasi melibatkan beberapa siri pertempuran dengan junta tentera sehingga mengakibatkan ratusan korban nyawa orang awam.