MOSCOW: Rangkaian restoran makanan segera Rusia yang dahulunya dikenali sebagai McDonald's, telah mendedahkan logo baharunya ketika ia bersedia untuk membuka semula restorannya, Ahad ini.

Penjenamaan baharu itu menampilkan logo berbentuk bulatan dengan dua baris, yang dikatakan melambangkan burger dan dua kentang goreng.

Nama rasminya belum didedahkan, namun beberapa pilihan sedang dipertimbangkan.

Mei lalu, McDonald's mengumumkan menghentikan operasi di Rusia susulan perang ke atas Ukraine.

Agensi berita milik Rusia, TASS melaporkan ia diuruskan oleh Sistema PBO, firma yang sama yang menguruskan perniagaan yang sebelum ini dimiliki oleh McDonald's.
.
"Latar belakang hijau melambangkan kualiti produk dan perkhidmatan yang biasa digunakan oleh pelanggan kami," kata jurucakap Sistema PBO kepada TASS.

Pengguna media sosial bagaimanapun mengkritik logo baharu itu yang masih kelihatan seperti huruf "M".

Malah ada juga yang mendakwa logo baharu itu seolah-olah diilhamkan daripada bendera Bangladesh, yang juga mempunyai latar belakang hijau gelap dan bulatan merah.

Nama-nama yang sedang dipertimbangkan termasuk "Tot Samyi", yang bermaksud "yang sama" dan "Svobodnaya Kassa" yang bermaksud "daftar tunai yang tersedia".