McDonald's menutup kesemua 29 cawangan restorannya di Peru selepas dua pekerjanya meninggal dunia ketika bertugas hujung minggu lalu.

Pemegang lesen francais Arcos Dorados Holdings Inc selaku pemilik dan pengendali restoran McDonald's di seluruh Amerika Latin dalam satu kenyataan berkata akan mula menjalankan pemeriksaan keselamatan susulan kejadian.

Dalam insiden pada Ahad, dua pekerja restoran, Alexandra Porras, 18, dan Carlos Campo, 19, terkena renjatan elektrik pada Ahad di Pueblo Libre, ketika membersihkan dapur, lapor Reuters.

Jurucakap Arcos Dorados dalam kenyataan itu berkata pihaknya sedih dengan kematian dua pekerja terbabit dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

Pejabat Pendakwaraya Peru dipetik sebagai berkata siasatan polis termasuk mengambil kenyataan dari pemilik restoran, pekerja dan aspek keselamatan restoran.

Susulan kejadian, sekurang-kurangnya 20 orang mengadakan protes di luar lokasi restoran McDonald's sebagai reaksi terhadap kematian dua pekerja terbabit selain mendesak persekitaran kerja yang lebih baik.