Media Thailand sering langgar hak kanak-kanak - Kajian

Bernama
November 27, 2014 15:59 MYT
Kajian itu mendapati kebanyakan kes pelanggaran hak adalah berkaitan privasi, termasuk pendedahan identiti kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan dan mereka yang disyaki melakukan kegiatan jenayah. - Gambar: Facebook/Unicef Thailand
Akhbar dan televisyen Thailand sering melanggar hak kanak-kanak dalam liputan mereka, kata satu kajian media yang disokong Unicef Thailand.
Hasil kajian bertajuk "Bagaimana media cetak dan elektronik menghidangkan berita tentang kanak-kanak" oleh Fakulti Seni Komunikasi, Universiti Chulalongkorn, yang dikeluarkan hari ini mendapati 21 peratus laporan akhbar dan 13 peratus laporan televisyen melanggar hak kanak-kanak.
Kajian itu menggunakan 1,800 sampel bahan, termasuk laporan, foto, rencana, rencana pengarang dan liputan televisyen daripada akhbar utama berbahasa Thai untuk 182 hari dan tiga stesen televisyen untuk 48 hari pada 2012.
Daripada jumlah itu, 1,513 adalah sampel yang diambil daripada akhbar dan 287 daripada liputan televisyen, kata Unicef.
Kajian itu mendapati kebanyakan kes pelanggaran hak adalah berkaitan privasi, termasuk pendedahan identiti kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan dan mereka yang disyaki melakukan kegiatan jenayah.
Katanya sebahagian besar pelanggaran hak itu berupa perbuatan mendedahkan nama kanak-kanak atau menunjukkan wajah mereka dan mendedahkan nama sanak saudara, sekolah atau alamat rumah mereka.
Kajian itu juga mendapati banyak laporan akhbar menyalahgunakan foto kanak-kanak tidak dikenali yang tiada kaitan dengan kandungan berita yang disiarkan.
Jenis pelanggaran hak kanak-kanak kedua paling banyak dilakukan media ialah penggunaan bahasa sensasi, provokatif dan/atau tidak sesuai atau tajuk berunsur fitnah apabila merujuk kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah atau tingkah laku kanak-kanak.
Kajian itu juga mendapati kanak-kanak yang terlibat dengan kegiatan jenayah sering dibawa ke sidang akhbar oleh pihak berkuasa dan ini melanggar hak asasi mereka.
Kebanyakan pelanggaran hak itu terkandung dalam laporan di ruangan jenayah dan muka depan akhbar serta dalam previu tajuk utama berita televisyen.
Jumlah pelanggaran hak kanak-kanak paling tinggi didapati terkandung dalam laporan berkaitan penderaan kanak-kanak, termasuk penderaan seksual.
Menurut kajian itu, kebanyakan laporan berita tentang kanak-kanak adalah berdasarkan kejadian dan tidak banyak laporan yang menyediakan analisis mendalam atau cadangan tentang cara untuk mengatasi cabaran yang dihadapi kanak-kanak.
Wakil Unicef Thailand Bijaya Rajbhandari bagaimanapun berkata kini, media Thailand semakin sedar tentang hak kanak-kanak berbanding beberapa tahun lepas.
Anggota pasukan penyelidik itu Penolong Prof Pirongrong Ramasoota pula berkata pemantauan orang ramai boleh memainkan peranan penting untuk mengubah cara media membuat laporan tentang kanak-kanak.
Bagaimanpun, katanya, dalam tempoh 2003 hingga 2012, hanya lapan laporan dikemukakan kepada Majlis Akhbar Kebangsaan Thailand berkaitan pelanggaran hak kanak-kanak.
“Kawal selia kendiri oleh media tidak akan menjadi kenyataan sekiranya tidak mendapat input daripada orang ramai yang celik media serta boleh membantu membuat pemantauan terhadap media melalui saluran sewajarnya," kata beliau.
#hak kanak-kanak #Media #privasi #Unicef Thailand