TUSCANY: Ribuan pelancong yang melawat Menara Condong Pisa di Itali setiap tahun pasti akan memilih untuk bergambar dengan gaya seolah-olah mereka sedang menahannya daripada jatuh.

Namun, satu kajian baru-baru ini mendedahkan bahawa, menara itu semakin menegak hasil kerja-kerja penstabilan.

Projek penstabilan selama 11 tahun telah mengurangkan kecondongannya sebanyak 15 inci menjelang 2001, dan dalam tempoh 21 tahun sejak itu, menara itu semakin menegak sebanyak 1.6 inci (4cm) lagi.

Walaupun kecondongan telah dikurangkan, ia masih bergoyang pada purata kira-kira 0.02 inci (0.5 mm) setahun, menurut profesor geoteknik, Nunziante Squeglia dari Universiti Pisa.

"Walaupun begitu, apa yang paling penting ialah kestabilan menara, yang lebih baik daripada jangkaan," katanya kepada Agensi Akhbar Bersekutu Kebangsaan Itali (ANSA).

Menara loceng zaman pertengahan itu berjaya bertahan dan tidak rosak walaupun kawasannya dilanda sekurang-kurangnya empat gempa bumi kuat sejak 1280.

Kajian pada tahun 2018 mendapati, kelembutan tanah asas, yang menjadi faktor kecondongannya, berjaya melindunginya daripada gegaran kuat.

Pakar berpendapat, kemajuan dalam teknologi akan membolehkan menara itu tegak sepenuhnya satu hari nanti.