Menteri Ekonomi Digital Perancis gesa syarikat teknologi lebih bertanggungjawab

Agensi
Januari 10, 2018 22:43 MYT
Apple berdepan tuduhan dengan sengaja memperlahankan prestasi bateri model lama telefonnya untuk menggalakkan pelanggan membeli model baru. - Gambar hiasan
Menteri Ekonomi Digital Perancis Mounir Mahjoubi menggesa syarikat-syarikat teknologi seperti Apple untuk lebih bertanggungjawab dalam mencipta jenis ekonomi yang terhasil dari penjualan produk mereka.
Mahroubi merujuk kepada siasatan pihak pendakwa Perancis terhadap Apple yang didakwa dengan sengaja memperlahankan telefon model lama mereka untuk menggalakkan pelanggan membeli model baru yang lebih mahal.
Beliau yang ditemui sewaktu melawat Pertunjukan Teknologi CES di Las Vegas berkata, tumpuan tidak harus diberikan kepada Apple sahaja namun ratusan syarikat teknologi lain.
Katanya, syarikat tersebut harus mula berfikir mengenai kesan perbuatan mereka kepada masyarakat terutamanya bagaimana tindakan mereka mengambil kesempatan telah menyebabkan kesusahan dan perbelanjaan sia-sia begitu ramai pelanggan.
Beliau bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut mengenai kes mahkamah yang sedang difailkan terhadap Apple.
Apple berdepan tuduhan dengan sengaja memperlahankan prestasi bateri model lama telefonnya untuk menggalakkan pelanggan membeli model baru.
Pejabat pendakwa raya memaklumkan kertas siasatan dibuka minggu lepas, berhubung dakwaan Apple secara terancang melakukan penipuan melibatkan beberapa produk keluaran syarikat itu.
Siasatan diketuai badan yang mengawal selia penipuan produk, di bawah Kementerian Kewangan Perancis.
Ia susulan aduan rasmi yang difailkan kumpulan pengguna Perancis, yang mensasarkan untuk menghentikan penipuan terancang produk oleh syarikat pengeluar.
Di Perancis, adalah menjadi satu kesalahan sekiranya pengeluar dengan sengaja memendekkan jangka hayat produk dengan tujuan menggalakkan pengguna membeli produk baru.
Apabila ditanya mengenai tindakan kebanyakkan syarikat teknologi yang begitu kerap mengelak dari membayar cukai dengan menggunakan akaun simpanan atau syarikat luar pesisir, Mahjoubi berkata isu ini harus dipandang serius.
“Masyarakat dunia dan Perancis khususnya sudah mula membuka mata kepada apa yang dilakukan oleh syarikat-syarikat ini.
"Produk-produk yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat gergasi seperti Google, Apple, Facebook, Amazon dan banyak lagi, sangat dihargai oleh pengguna namun saya pasti bahawa mereka akan lebih terbuka menerima apabila mereka tahu syarikat-syarikat ini tidak cuba menyorok hasil kewangan mereka,” katanya.
#Apple #Las Vegas #model baru #model lama #Mounir Mahjoubi #Perancis #perlahankan #saman #syarikat teknologi #telefon pintar