JAKARTA: Menteri Luar ASEAN menyokong gesaan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menjalankan siasatan bebas terhadap semua dakwaan kekejaman terhadap orang awam termasuk di bandar Bucha, di Kyiv, Ukraine, demi keadilan dan mengelak kejadian sama berulang.

Selain itu, menteri-menteri luar ASEAN turut mengucapkan takziah kepada rakyat Ukraine susulan kejadian itu.

"Kami turut bersedih atas kehilangan nyawa dalam konflik itu," menurut menteri luar berkenaan dalam satu kenyataan di laman sesawang Sekretariat ASEAN pada Jumaat.

Para menteri luar turut menekankan mengenai kepentingan koridor kemanusiaan untuk membolehkan bantuan kemanusiaan dapat dihantar ke Ukraine dengan selamat.

"Kami menyeru semua pihak dan masyarakat antarabangsa berusaha sedaya upaya untuk menghentikan pertempuran dan menumpukan kepada usaha menamatkan konflik.

""Kami mengulangi gesaan kami untuk gencatan senjata segera atau mengadakan dialog politik yang komprehensif bagi mewujudkan keamanan yang berkekalan di Ukraine," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA