TENNESSEE: Syarikat perubatan Merck mendakwa ubat antiviral COVID-19 keluarannya yang kini dalam percubaan klinikal berjaya mengurangkan kadar hospitalisasi dan kematian akibat wabak itu.

Merck dalam satu kenyataan memaklumkan ia akan memohon kepada pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS) untuk membenarkan penggunaan ubat tersebut di seluruh dunia.

Sekiranya diluluskan, ubat tersebut merupakan yang pertama di dunia digunakan untuk merawat COVID-19.
Ia juga merupakan langkah utama dalam usaha global untuk mengawal pandemik itu.


Menurut pakar penyakit berjangkit Pusat Perubatan Universiti Vanderbilt, Dr William Schaffner, ia juga dapat meningkatkan usaha merawat lebih ramai pesakit dengan pantas.

"Syarikat perubatan Merck mengumumkan mereka sudah melengkapkan kajian terhadap ubat antiviral baharu yang boleh merawat COVID-19.

"Selepas dijangkiti, sekiranya anda mengambil ubat ini, ia boleh mengurangkan risiko dirawat di hospital dan kematian dengan 50 peratus.

"Merck sudah mengemukakan semua maklumat kepada pentadbiran makanan dan ubat-ubatan (FDA).

"Mereka perlu melakukan kajian yang lebih terperinci. Melihat kepada manfaat dan kesan sampingannya.

"Kemudian, sekiranya ia berjalan lancar, saya mendoakan, kita boleh mendapatkan kelulusan kecemasan, mungkin seawal lapan minggu akan datang," kata Dr Schaffner.

Ujar beliau, di sebalik perkhabaran memberangsangkan ini, beliau tetap menegaskan kepentingan vaksinasi.