LONDON: Mikroskop kepunyaan Charles Darwin dilelong pada harga £598,000 (kira-kira RM3.36 juta) di London.

Lelongan itu dilakukan semasa jualan "Buku dan Manuskrip Berharga" anjuran rumah lelongan Christie.

Ini merupakan jualan tertinggi berkaitan objek saintifik dari abad ke-19.

Mikroskop tersebut direka oleh Charles Gould untuk Syarikat Cary sekitar tahun 1825.

Tarikah pembuatannya selari dengan zaman ketika Charles Darwin mengkaji tumbuhan zoofit serta organisme seperti batu karang dan anemone laut.

Menurut Christie, mikroskop tersebut antara enam milik ahli alamiah Britain.

Salah satu daripadanya masih disimpan di Down House, bekas kediaman keluarga Darwin dan juga tempat di mana beliau mengkaji teori pemilihan semula jadi.

Sebelum ini Christie menjangkakan mikroskop yang dilelong itu akan mencecah harga jualan di antara £250,000 dan £350,000.

"Mikroskop milik Charles Darwin ini mencecah harga jualan tertinggi bagi objek saintifik abad ke-19.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Keluarga Darwin kerana memberi kami kepercayaan dengan objek sejarah penting ini," kata Ketua Instrumen Saintifik dan Sejarah Alam Christie, James Hyslop.

Jumlah keseluruhan daripada acara jualan tersebut mencecah kira-kira £4 juta (kira-kira RM22.4 juta) untuk rumah lelongan itu.