SEORANG wanita yang berasal dari Tamil Nadu, Toothukudi, India melakukan sebuah pengorbanan yang cukup besar dalam hidupnya demi memastikan mampu membesarkan anak tunggalnya dengan baik.

Wanita dengan nama Petchiamaal yang kini dikenali sebagai Muthu, mendedahkan menukar imejnya menjadi seorang lelaki selepas kematian suami dan mengalami kesukaran hidup terutama mendapatkan pekerjaan yang didominasi kaum lelaki.

India Today melaporkan, sehingga kini Muthu sudah dikenali sebagai lelaki selama 36 tahun. Muthu atau Petchiamaal kini berusia 57 tahun dan masih memakai identiti lelakinya.

Dia mendakwa penyamaran tersebut berlaku selepas dirinya terpaksa menjadi janda pada usia seawal 20 tahun selepas kematian suami.

Wanita itu kemudian mendapati dirinya hamil dan berusaha untuk mencari kerja namun sering menerima diskriminasi oleh golongan lelaki.

Malah dia juga pernah menerima gangguan seksual selama satu bulan saat bekerja.

Tidak mahu dirinya ditindas dan demi menghidupkan anaknya, dia menyamar sebagai lelaki dengan nama Muthu serta melakukan pelbagai pekerjaan yang turut dilakukan oleh kaum sama termasuk sebagai buruh.

“Saya telah tinggal di Kattunayakkanpatti lebih daripada 20 tahun. Hanya keluarga terdekat dan anak perempuan saya tahu saya adalah seorang wanita,” katanya seperti dilaporkan media antarabangsa.

*Artikel asal disiarkan di Gempak