BRUSSELS: Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) Jens Stoltenberg pada Khamis berkata organisasi ketenteraan itu mengalu-alukan penyertaan Finland dan Sweden "dengan tangan terbuka" jika kedua-dua negara memutuskan untuk berbuat demikian, lapor Agensi Anadolu.

Stoltenberg berkata demikian pada sidang akhbar bersama Presiden Parlimen Eropah (EP) Roberta Mestola menjelang pertemuan dengan pemimpin EP.

"Jika mereka memutuskan untuk memohon, Finland dan Sweden akan disambut dengan tangan terbuka untuk menyertai NATO. Finland dan Sweden adalah rakan kongsi rapat," kata Stoltenberg.

Kedua-dua negara menyokong demokrasi serta telah sekian lama bekerjasama dengan pertubuhan itu.

Beliau memberi jaminan tentera Sweden dan Finland "memenuhi piawaian dan boleh bekerjasama dengan pasukan tenteranya."

"Kami dilatih dan menjalani latihan bersama-sama," tegasnya, sambil menambah tentera Sweden dan Finland turut mengambil bahagian dalam banyak misi dan operasi NATO.

Beliau turut menegaskan "pencerobohan ke atas Ukraine membuktikan NATO perlu menyediakan sokongan praktikal dan politik bagi negara di Eropah yang bukan ahli NATO atau ahli Kesatuan Eropah, seperti Moldova dan Georgia.

Menurut laporan media, Finland dan Sweden bersetuju mengemukakan permohonan menjadi ahli pertubuhan pada pertengahan Mei.

Kedua-dua negara mengambil pendirian berkecuali ketika Perang Dingin dan mencapai perjanjian perkongsian dengan NATO pada tahun 1995.

Sokongan menyertai NATO meningkat ketara di kedua-dua negara selepas Rusia melancarkan operasi ketenteraan terhadap Ukraine.

-- BERNAMA