KUALA LUMPUR: Negara-negara Asia Tenggara sejak mula telah menunjukkan pencapaian yang amat baik dalam menguruskan pandemik COVID-19, dengan hampir separuh negara-negara di rantau ini berada di landasan yang betul dalam usaha mengurangkan kes dan membendung jangkitan.

Pengarah Pusat Serantau Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Asia Tenggara, Dr John MacArthur, semalam berkata Thailand, negara pertama di luar Wuhan, China mencatatkan kes COVID-19 pada awal 2020, telah mengambil pelbagai langkah untuk mengesan jangkitan termasuk di lapangan terbang dan telah membuat banyak pelaburan dalam persediaan menghadapi pandemik.

"Selama lebih 15 tahun, rantau Asia Tenggara bekerja secara kolektif, memperkukuh keupayaan asas (dan) menangani ancaman kesihatan awam termasuk pemantauan, tindak balas kecemasan, pembangunan tenaga kerja melalui latihan, pengesanan penyakit, dan pengukuhan sistem makmal.

"Jadi, boleh saya katakan sejak awal lagi, Asia Tenggara sudah melakukan yang terbaik. Terdapat beberapa negara sedang berhadapan cabaran, tetapi sangat baik dalam memerangi kemunculan virus ini (COVID-19)," katanya ketika sesi soal jawab pada taklimat media mengenai perasmian Pejabat Wilayah Asia Tenggara CDC secara maya.

Pejabat CDC AS Rantau Asia Tenggara di Hanoi, Vietnam itu dilancarkan Naib Presiden AS Kamala Harris pada Rabu (25 Ogos) semasa lawatan tiga hari beliau ke negara itu.

Terletak di Jalan Ngo Quyen pejabat itu satu daripada empat pejabat serantau CDC di dunia.

Mengulas lanjut, MacArthur berkata kes COVID-19 per penduduk di rantau Asia Tenggara sebenarnya jauh lebih rendah berbanding jumlah global.

"Jadi, sungguhpun keadaan di Asia Tenggara dilihat teruk, angkanya jauh lebih rendah berbanding dengan jumlah pandemik global," katanya, sambil menambah bahawa beberapa peralatan untuk tindak balas pandemik yang digunakan sebelum ini tidak lagi berkesan dengan kemunculan varian baharu seperti strain Delta.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perubatan CDC Dr Mitchell Wolfe, berkata pejabat itu diwujdukan atas dasar kesatuan yang ditunjukkan oleh negara-negara Asia Tenggara selama ini ketika pandemik dan menerusi pertubuhan seperti ASEAN.

"Kami ingin menekankan bahawa kami sangat berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh negara-negara Asia Tenggara kepada rakyat Amerika semasa krisis ini," katanya.

Tambah beliau CDC sudah bertapak di seluruh dunia selama lebih 70 tahun.

-- BERNAMA