BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Rabu menafikan hubungan negaranya dengan Amerika Syarikat (AS) tegang, malah menegaskan bahawa pakatan kedua-dua negara "tidak goyah".

"Israel dan AS memang ada perbezaan pendapat sekali-sekala, namun saya mahu memberi jaminan bahawa pakatan antara demokrasi terbesar dunia dan demokrasi yang kuat dan bebas, Israel, di Asia Barat tidak tergoyah.

"Tiada apa yang boleh mengubahnya," Anadolu Agency (AA) memetik Netanyahu dalam ucapannya di Sidang Kemuncak Demokrasi Jabatan Negara AS.

Beliau berkata Presiden AS Joe Biden merupakan rakannya selama 40 tahun.

Kenyataan Netanyahu dibuat semasa berlaku ketegangan dalam hubungan Israel-AS berhubung rombakan sistem kehakiman yang dicadangkan oleh kerajaan Israel, yang mencetuskan protes besar-besaran di Israel sejak beberapa minggu lalu.

Presiden AS Joe Biden berkata beliau tidak akan menerima Netanyahu di Rumah Putih sebagai tanda protes AS terhadap cadangan pembaharuan sistem kehakiman itu.

Pada Isnin, Netanyahu tunduk terhadap tekanan dan mengumumkan penangguhan sementara rancangan pembaharuan itu.

-- BERNAMA