NEW YORK: Netflix dilaporkan akan mula mengenakan bayaran sebanyak RM13 sebulan kepada pengguna yang tidak tinggal serumah bersama pemegang akaun yang melanggan perkhidmatan penstriman video itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat tersebut menjelaskan bahawa akaun Netflix seharusnya digunakan dalam sebuah alamat kediaman yang sama.

Netflix akan mula menghantar emel kepada pelanggan di Malaysia yang berkongsi akaun dengan individu yang tidak tinggal serumah.

Dalam salinan emel yang dikongsi dalam kenyataan tersebut, Netflix menyatakan bahawa pelanggan yang ingin berkongsi akaun Netflix mereka di rumah lain boleh memindahkan profil mereka kepada individu tersebut.


Mereka kemudiannya akan menjadi pelanggan baharu dan perlu membayar yuran langganan bulanan.

"Anda juga boleh berkongsi akaun Netflix dengan seseorang yang tidak tinggal serumah dengan bayaran RM13 setiap bulan," tambah kenyataan.

Netflix, yang berusaha untuk mengatasi perkongsian akaun yang meluas, mengumumkan bahawa ia akan mengehadkan penonton di Amerika Syarikat bagi tontonan program kepada orang yang tinggal di rumah yang sama.

Laporan tersebut juga menyatakan bahawa Netflix akan meluaskan dasar ini ke lebih 100 buah negara.

Pada awal tahun ini, Netflix memaklumkan bahawa lebih 100 juta buah rumah berkongsi akaun yang dilaporkan memberi kesan terhadap keupayaan untuk melabur bagi menghasilkan kandungan baharu.