Obama tarik perhatian dalam kemunculan pertama selepas tinggalkan White House

Agensi
April 25, 2017 02:54 MYT
Obama membuat kemunculan awam yang pertama sejak meninggalkan White House, pada Isnin. - Reuters
Barack Obama, yang membuat kemunculan awam yang pertama sejak meninggalkan White House, pada Isnin, menggesa golongan muda untuk lebih melibatkan diri dalam komuniti mereka terutamanya dalam keadaan politik yang mencabar.
Walau bagaimanapun, Obama tidak memberikan sebarang ulasan mengenai penggantinya, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
"Apa yang telah berlaku selepas saya pergi?” bekas Presiden Demokratik itu bertanya secara berseloroh semasa satu acara dilangsungkan di University of Chicago, tempat beliau memulakan kerjaya politiknya.
Obama, yang pernah mengajar undang-undang perlembagaan di universiti tersebut, memberi ucapan mengenai kisah beliau memulakan kerjaya sebagai penganjur program masyarakat di bandar itu.
Jelas Obama, beliau telah mangambil keputusan untuk memberi tumpuan kepada usaha menggalakkan golongan muda melibatkan diri dalam komuniti mereka, selepas tempoh beliau menjadi presiden tamat.
Obama, telah menghabiskan sebahagian besarnya daripada kehidupannya selepas tempoh presidennya tamat, di luar mata awam.
Sepanjang kehadirannya dalam acara tersebut, Obama langsung tidak ditanya mengenai Trump dan beliau juga tidak mengambil soalan dari wartawan.
Obama berkata, ia telah lama menjadi matlamatnya untuk merapatkan jurang politik dalam negara itu.
"Ia adalah sukar untuk mencari titik persamaan kerana politik wang,” katanya.
Obama berkata, perubahan dalam cara orang menggunakan media membolehkan mereka bertutur hanya dengan mereka yang bersetuju pandangan mereka.
#acara rasmi #Amerika Syarikat #Barack Obama #Donald Trump #generasi muda #kemunculan pertama #Perlembagaan #White House