Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Ekmeleddin Ihsanoglu, menggesa Presiden AS yang dipilih semula, Barack Obama, membangkitkan isu kritikal keganasan terhadap masyarakat Islam Rohingya, semasa lawatan beliau ke Myanmar pada 19 Nov.

Ihsanoglu menggesa presiden itu agar mendesak pihak berkuasa tertinggi Myanmar dan pemimpin pembangkangnya, menamatkan segera keganasan.

Ihsanoglu berpendapat bahawa ini merupakan langkah pertama ke arah memulih ketenteraman di negara itu dan bagi mewujudkan penyelesaian damai dalam usaha memelihara proses pendemokrasian.

Ini hendaklah termasuk perlindungan hak asasi manusia bagi semua kumpulan etnik minoriti, demikian OIC melaporkan beliau sebagai berkata dalam sepucuk surat kepada Obama pada Selasa lepas.

Menurut beberapa laporan, lawatan Obama bertujuan bertemu dengan Presiden Thein Sein serta pemenang 'Nobel Peace Prize' dan ketua pembangkang, Aung San Suu Kyi.